Tenaga nuklear, kadangkala disebut tenaga atom, ialah sejenis tenaga yang "mengikat" nukleus
sesebuah atom.
Tenaga ini boleh dibebaskan melalui tindakbalas nuklear
seperti pereputan radioaktif serta pembelahan atau pelakuran nuklear.
Selain itu, ia juga merujuk kepada teknologi atau industri tenaga nuklear yang
membolehkan penjanaan tenaga sekunder seperti tenaga elektrik.
Tenaga nuklear ini dihasilkan dari reaksi nuklear (iaitu bukan letupan)
terkawal. Loji komersial menggunakan reaksi pembelahan nuklear untuk menghasilkan
elektrik. Reaktor utiliti elektrik memanaskan air untuk menghasilkan wap, yang
kemudian digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik.
Tenaga nuklear mula ditemui oleh
ahli fizik
Perancis bernama Henri
Becquerel pada tahun 1896, ketika beliau
mendapati bahawa kepingan fotografi yang disimpan di dalam gelap berdekatan
dengan uranium
telah berubah kehitaman seperti kepingan sinar X,
yang baru sahaja ditemui pada tahun 1895.[1]
Tenaga nuklear dibebaskan oleh tiga
proses eksoterma, iaitu "Pereputan radioaktif", yang melibatkan satu proton atau neutron
dalam nukleus radioaktif yang mereput lalu membebaskan samada zarah-zarah, sinaran elektromagnet (seperti sinar gamma),
neutrino
atau kesemuanya sekali; "pembelahan nuklear,
yang membelah satu nukleus berat menjadi dua (atau jarang sekali tiga) nuklues
yang lebih ringan; dan "pelakuran nuklear,
yang menggabungkan dua nukelus atom untuk membentuk satu nukleus yang lebih
berat.
Pereputan radioaktif adalah satu
tindakbalas yang berlaku secara spontan, rawak dan semula jadi. Pembelahan
nuklear pula, yang tidak berlaku secara semula jadi, telah digunakan secara
meluas dalam penjanaan tenaga elektrik sejak 1950-an lagi. Sementara itu,
pelakuran nuklear boleh berlaku secara semula jadi, seperti dalam Matahari,
dan secara buatan. Walaupun, proses itu telah dibuktikan boleh dilakukan secara
buatan, namun terdapat beberapa masalah seperti kawalan ke atas tindak balas,
yang perlu diatasi sebelum proses ini boleh dilakukan secara besar-besaran.
Kegunaan
Pada tahun 2005, tenaga nuklear
membekalkan 6,3% tenaga dunia dan 15% kuasa elektrik dunia. Amerika Syarikat, Perancis, dan Jepun menggunakan 56,5% elektrik yang dihasilkan oleh loji
nuklear. Pada tahun 2007, IAEA melaporkan terdapat 439 reaktor nuklear di dunia yang
beroperasi di 31 negara.
Amerika Syarikat menghasilkan paling
banyak tenaga nuklear, dengan tenaga nuklear membekalkan 19% tenaga elektrik
yang ia gunakan, sementara Perancis menghasilkan peratusan tertinggi tenaga
elektrik dari reaktor nuklear iaitu sebanyak 80% pada 2006. Di Kesatuan Eropah,
tenaga nuklear membekalkan 30% tenaga elektrik. Dasar tenaga nuklear berbeza
antara negara-negara Kesatuan Eropah, dan sesetengah negara seperti Austria,
Estonia,
dan Ireland,
tidak mempunyai stesyen tenaga nuklear aktif. Sebagai perbandingan, Perancis
memiliki banyak loji nuklear, dengan 16 stesen pelbagai unit yang digunakan
ketika ini.
Di AS, walaupun industri tenaga
eletrik daripada arang batu dan gas diramalkan bernilai $85 bilion menjelang
2013, janakuasa tenaga nuklear dianggarkan bernilai $18 bilion.
Kebanyakan kapal laut tentera dan
beberapa kapal awam (seperti kapal pemecah ais) menggunakan pendorong marin
nuklear, suatu bentuk pendorong nuklear. Beberapa kenderaan angkasa telah
dilancarkan dengan menggunakan reaktor nuklear seperti RORSAT kepunyaan Soviet
dan SNAP-10A kepunyaan Amerika.
Penyelidikan antarabangsa terus
dibuat untuk penambahbaikan dalam teknologi tenaga nuklear seperti dalam aspek
keselamatan loji, penggunaan pelakuran nuklear, dan kegunaan tambahan dalam
proses pemanasan seperti pengeluaran hidrogen, penyulingan air laut, dan untuk
digunakan dalam sistem pemanas di sesuatu daerah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan